Sunday, October 17, 2010

Sharing is caring

Rumahtangga merupakan alam baru yang perlu ditempuh tanpa ada tempoh percubaan. Kebahagiaan atau sebaliknya amat bergantung sejauh mana persediaan pasangan itu dalam bekerjasama mewujudkan keharmonian dan persefahaman sesama mereka. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 80 yang bermaksud,

'Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya)'

Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara yang berkaitan dengan penghidupan manusia. Keamanan dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor terpenting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang. Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian jugalah sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka.

Keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup. Syariah, akidah dan akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab suami isteri untuk mendokong dan menghayati konsep al-Mawaddah dan al-Rahmah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud;

'Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t ianya mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir'.

Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan sembahyang supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

'Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan; dan pisahkan tempat tidur mereka.'

(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)

Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Pembacaan buku agama di rumah beramai-ramai juga merupakan amalan yang sihat bagi rumahtangga cemerlang kerana secara tidak langsung dapat menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga.

Amalan-amalan tersebut selain mempunyai faedah yang besar, ia dapat mendidik anak-anak menghayati budaya keluarga Islam yang cemerlang. Ia juga dapat menghindari ahli-ahli keluarga terjerumus ke dalam maksiat dan kemungkaran seperti keruntuhan akhlak atau haruan makan anak.

Oleh itu, setiap lelaki muslim sebelum melangkahkan kaki ke alam perkahwinan dan menjadi ketua keluarga, adalah menjadi satu kewajipan melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama sebagai persiapan membina keluarga cemerlang. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud;

'Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah belanjakan sebahagian dari harta benda mereka.'


Dipetik dari sumber: www.islam.gov.my

No comments: