Wednesday, September 15, 2010

Suka duka September 2010

Salam kepada semua
Nampaknya, tirai September 2010 dibuka dengan pelbagai warna..ada yang putih dan ada juga yang hitam. Selaku manusia biasa, itulah ketentuan dari Ilahi yang Maha Mengetahui segala kejadian di langit dan di bumi. Subhanallah.
Putih: 4 September 2010. Anak sulungku Muhammad Afiq Naqiuddin b Mohd Afizal sudahpun berusia 7 tahun. Semakin nakal tetapi bijak. Semakin kerap menaikkan darah mamanya tetapi pandai juga mengambil hati. Alhamdulillah, Afiq yang dipanggil Along oleh adik-adiknya adalah seorang anak yang bijak. Walaupun dia mungkin tidak secemerlang orang lain dalam pelajarannya, tetapi aku tetap bersyukur dengan pencapaiannya di sekolah. Lagipun, ini tahun persekolahannya yang pertama. Aku tidak mahu menjadi orang tua yang pendesak. Aku percaya, Afiq akan mengerti erti persaingan dalam pelajaran bila usianya semakin meningkat. Cuma doaku, semoga Afiq menjadi anak yang soleh, di dunia dan akhirat..
Putih: 10 September 2010. Aidilfitri 1431 hijrah disambut di Sg Acheh tahun ini. Bermula dari 30 Ramadhan sehingga 3 Syawal kami sekeluarga merayakannya di sana. Di dalam 'keputihan' ini, terselit rasa sedikit kehitaman bilamana aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan yang belum pasti lagi dapat aku ketemu. Tuhan, mohon padaMu agar memberikan aku lagi kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang penuh dengan rahmatMu. Selepas 3 hari di Sg Acheh, kami menyambung Syawal di Taman Meru, rumah kedua orang tuaku. Seperti orang lain, beraya di rumah sendiri adalah berbeza berbanding beraya di rumah orang lain, walaupun mertua sendiri. Subjektif mungkin penyataan aku ini, tapi ini pandangan aku. Terasa sangat bahagia apabila wajah ayah mama ditatap disamping ahli keluarga yang lain..
Hitam: Seluruh negara telah dikejutkan dengan kematian jutawan kosmetik terkenal Datuk Sosilawati Lawiya dan 3 yang lain yang terdiri daripada pemandu peribadinya, pegawai bank dan seorang peguam. Sangat tragis pemergian mereka di mana keempat-empatnya telah dibunuh dan dibakar. Kepada penjenayah-penjenayah yang terlalu kejam dan zalim itu, ingin aku nyatakan bahawa jenazah mereka tidak perlu diuruskan mengikut adat kamu. Mereka yang kamu bunuh itu mempunyai agama yang sangat mulia cara pengurusan jenazahnya sebelum mereka dihantar menemui Pencipta mereka. Aku tahu, kamu sangat percayakan hukum karma bukan? Dan aku juga sangat yakin dan percaya, bahawa perbuatan kejam dan kesetanan kamu itu akan dibalas setimpalnya. Lahanat. Untuk arwah Datuk Sosilawati, arwah Kamaruddin, arwah Kamil dan arwah Noorhisham, al-fatihah untuk kalian dan semoga kalian ditempatkan bersama dengan golongan orang-orang yang beriman..

No comments: