Monday, December 19, 2005

kasihnya ibu..sayangnya ayah..


kalau tengok pada cerita nie..aku sgt kagum..ada 17 anak..more than half berjaya ke universiti..they themselves takder kelulusan..buta huruf lagi but they managed to raised their children to be an "insan"..aku tahu ramai lagi kat luar sana yang macam atuk and opah nie..

Dipetik dari Utusan Malaysia,19 Disember 2005


BALING 18 Dis. - Dia hanya seorang penoreh getah, buta huruf dan mempunyai 17 orang anak.Sekali pandang, tidak ada apa-apa keistimewaan tentang hidup Sulaiman Saipin, 70, dan isterinya, Esah Din, 69.
Bagaimanapun, anda mungkin tidak percaya jika diberitahu, 13 daripada 17 anak-anak mereka telah berjaya memasuki universiti.
Malah lebih membanggakan, kesemua anak mereka kini bekerja di sektor awam dan swasta dengan menyandang pelbagai jawatan tinggi.
Pada kebanyakan orang, mempunyai anak yang ramai satu beban terutama dari segi menentukan masa depan pendidikan mereka.
Bagaimanapun, anggapan itu meleset apabila Sulaiman yang bekerja sebagai penoreh getah membuktikan sebaliknya.
Rekod Sulaiman, boleh dianggap satu pencapaian yang mengagumkan.
Apakah rahsia Sulaiman dan Esah sehingga 13 anaknya itu berjaya memasuki menara gading?
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Merah Kuala Ketil di sini hari ini, Sulaiman berkata: ``Sebagai seorang buta huruf, saya mendisiplinkan anak-anak dengan mengutamakan pelajaran. Ini kerana, ada masa bermain dan masa mengaji, semuanya perlu ikut peraturan.
``Selepas balik dari menoreh getah, saya akan periksa buku mereka. Jika ada tanda merah dalam buku rekod, saya akan pukul mereka.
``Saya sering menggunakan rotan untuk mendisiplinkan anak-anak saya.''
Bagaimanapun, katanya, garang dengan anak-anak bukan bermaksud benci tetapi itulah lambang kasih sayang kepada mereka.
Menurutnya, walaupun dia dan isterinya tidak faham tetapi sentiasa mengawasi semua anak-anak supaya belajar mengikut waktu.
Pasangan itu mempunyai 17 orang anak, iaitu 12 lelaki dan lima perempuan.
Tambah datuk kepada 69 cucu ini, dia dan isterinya tidak pernah bersalin pakaian malah pernah menjual tanah kerana mahu membiayai pelajaran anak-anaknya.
Berkat kesabarannya, 13 anak-anaknya itu telah berjaya memasuki universiti.
Anak-anaknya itu ialah Ishak, 53, bekas pegawai tentera; Yahaya, 51, juga bekas tentera; Ahmad, 50, seorang guru lepasan Universiti Perguruan Sultan Idris; Abd. Malik, 49, guru lulusan Universiti Sains Malaysia (USM); Abd Aziz, 47, lepasan Universiti Putra Malaysia(UPM) kini bertugas di Pejabat Pendidikan Kuala Muda.
Anak keenam, Rosilah, 45, guru lepasan maktab perguruan; Shafei, 44, lepasan UPM kini bertugas sebagai Pegawai Alam Sekitar di PutraJaya, manakala Bahar, 42, lulusan Universiti Malaya (UM) kini bertugas sebagai guru.
Anak kesembilan, Zulkifli, 40, seorang Penguasa Kastam lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Shahabuddin, 39, lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini bertugas sebagai jurutera awam sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Anak Sulaiman yang ke-11, Abd Mutalib, 38, kini bertugas sebagai seorang guru di Pokok Sena, Kedah adalah lulusan UPM, manakala adiknya, Mohd. Noor,37, seorang pengurus sebuah ladang di Pahang juga lulusan UPM.
Anak ke-13, Ainon,35, lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM) kini bertugas sebagai akauntan di Sungai Petani sementara anak ke-14, Noraini, 33, lulusan UM bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Tanjung Malim, Perak.
Anak ke-15 pasangan suami isteri ini, Aidah, 31, seorang akauntan di Kuala Lumpur lulusan UM.
Anak ke-16, Abu Bakar, 26, bekerja di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan lulusan politeknik sementara anak bongsu pasangan ini, Norhana, 24, lulusan UUM bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Nerang, Kedah.
Ditanya lebih lanjut, Sulaiman berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan zuriat yang banyak.
``Itu adalah rezeki biarpun sedar kepayahan dan kesusahan untuk membesarkan kesemua mereka,'' katanya.
Sebagai seorang penoreh getah, Sulaiman berkata, dia terpaksa bergolok bergadai untuk membesarkan anak-anaknya.
Bagi Esah pula, walaupun mempunyai anak yang ramai tetapi dia lega kerana hasil penat lelah berbasikal setiap hari untuk pergi menoreh selain berdoa pada Ilahi, telah menampakkan hasilnya.
Di samping itu, paling membanggakan katanya, kesemua anak-anaknya tidak dilahirkan di hospital sebaliknya di rumah .
Esah yang lebih gemar memakan jamu tumbuk buatan sendiri berkata, apa yang dikecapinya sekarang adalah hasil kerja keras dia dan suaminya.
``Setiap kali keluarga besar ini berkumpul seekor lembu terpaksa dikorbankan,'' tambahnya.

No comments: