Monday, January 23, 2006

Baru ada akai depa nieeeeeeee

9 menteri tarik balik memo -- Ekoran pertemuan hati ke hati dengan Abdullah di Putrajaya
Oleh: NORAINI ABDUL RAZAK dan RAJA LUVENA SHARIFUDIN
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Sembilan menteri Kabinet bukan Islam hari ini menarik balik memorandum kepada Perdana Menteri yang meminta supaya undang-undang berkaitan pertukaran agama disemak semula.
Tindakan itu diambil selepas lima daripada mereka bertemu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya, pagi ini. Mereka ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek dan Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik. Keputusan itu dinyatakan oleh menteri-menteri yang mewakili parti komponen utama Barisan Nasional iaitu MCA, MIC dan Gerakan dalam kenyataan masing-masing lewat petang ini. Kenyataan empat perenggan MCA menyebut:
``Menteri-menteri parti MCA bersama menteri-menteri dari parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain telah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada pagi ini dan mengadakan perbincangan berhubung isu Memorandum Menteri bukan Islam. ``Kami telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri bahawa kami tidak berniat sama sekali untuk memberi tekanan kepada kerajaan dengan mengemukakan memorandum bersama dan sebaliknya adalah untuk mencerminkan pandangan, cadangan dan kebimbangan bagi pihak masyarakat bukan Islam. ``Sebagaimana dinasihat oleh Perdana Menteri bahawa mengemukakan memorandum adalah tidak sesuai, kami telah bersetuju menarik balik memorandum berkenaan. ``Kami mengalu-alukan nasihat Perdana Menteri supaya meneruskan perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk mencari penyelesaian isu pertukaran agama. Kami berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri dalam mengatasi isu yang berbangkit.'' Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ka Ting, Kong Choy, Soi Lek dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn. Kenyataan Samy Vellu yang juga Presiden MIC turut senada dengan MCA iaitu bersetuju menarik balik memorandum tersebut.
``MIC akur dengan nasihat Perdana Menteri dan berterima kasih kepada be-liau kerana sudi bertemu kami,'' katanya. Keng Yaik yang juga Presiden Gerakan dalam kenyataannya yang hampir sama dengan pemimpin MCA dan MIC turut bersetuju menarik balik memorandum tersebut. ``Selepas perbincangan dengan Perdana Menteri, kami menyedari langkah tersebut tidak sesuai, tambahan pula ia kini menjadi pengetahuan umum dan memberi persepsi yang salah,'' katanya. Bagaimanapun, Keng Yaik berjanji akan mengemukakan cadangan serta pandangan selepas Peguam Negara membentangkan hasil kajiannya mengenai isu itu ke Kabinet kelak. Empat menteri yang tidak hadir pada pertemuan itu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Maximus Ongkili; Menteri Perusahaan Utama, Datuk Peter Chin Fah Kui; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok; dan Chan Onn yang berada di kawasan masing-masing.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan Perkara 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak akan dipinda sebagaimana yang diminta dalam memorandum tersebut. Isu ini timbul berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M. Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S.Kaliammal dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau. Jawi menuntut jenazah itu setelah mendapati Moorthy telah memeluk agama Islam. Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Disember berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam.
.
Baru ada akai..!!
Dipetik dari Utusan Malaysia, 22 Januari 2006.

No comments: